Djokovic sudah bersedia memburu gelaran juara buat kali keenam di Wimbledon. FOTO EPA
Djokovic sudah bersedia memburu gelaran juara buat kali keenam di Wimbledon. FOTO EPA
AFP

London: Novak Djokovic bertekad untuk menyamai rekod 20 kejuaraan utama dan juara buat kali keenam di Wimbledon sekali gus menjadikannya pemain ketiga dalam sejarah berjaya melengkapkan kalendar Grand Slam.

Pemain nombor satu dunia itu sudahpun merangkul gelaran kesembilan Terbuka Australia dan kedua Terbuka Perancis musim ini.

Kejayaan itu menghampiri rekod Don Budge (1937) dan Rod Laver (1962 dan 1969) yang menyapu bersih empat kejuaraan utama pada tahun yang sama.

Ia adalah pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh pencabar utamanya Roger Federer dan Rafael Nadal.

"Segalanya mungkin," kata Djokovic, 34 selepas menang Terbuka Perancis awal bulan ini ketika ditanya adakah Golden Slam dan emas Olimpik itu satu yang realistik.

Djokovic merangkul gelaran Wimbledon kelima pada 2019, menyelamatkan dua mata kejuaraan untuk menewaskan Federer di perlawanan akhir paling panjang di Kelab Seluruh England itu, empat jam 57 minit.

Dia bagaimanapun gagal mempertahankan gelaran itu pada 2020 apabila Wimbledon dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Djokovic sudahpun menang tujuh dari 11 gelaran Grand Slam terakhir dan kini memburu rekod ke-20 di kejuaraan utama yang dipegang bersama-sama Federer dan Nadal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 12:05 PM