PEMAIN Serbia, Novak Djokovic menjulang trofi Wimbledon 2021 selepas menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini. FOTO REUTERS
PEMAIN Serbia, Novak Djokovic menjulang trofi Wimbledon 2021 selepas menewaskan pemain Itali, Matteo Berrettini. FOTO REUTERS
AFP

London: Novak Djokovic dan Rafael Nadal menjadi pilihan menjuarai Wimbledon apabila juara lapan kali, Roger Federer dan dua pemain terbaik dunia tidak bertanding.

Djokovic memburu gelaran ketujuh di All England Club untuk menyamai pencapaian legenda Amerika Syarikat (AS), Pete Sampras.

Nadal pula baru saja memenangi gelaran ke-14 di Terbuka Perancis dan melebarkan rekod dengan 22 gelaran kejohanan utama.

Kejohanan Grand Slam ketiga pada musim ini sudah menjadi topik utama politik sebelum servis pertama dilakukan pada Isnin depan.

Keputusan melarang penyertaan pemain Rusia dan Belarus susulan serangan ke atas Ukraine bermakan tiada tempat untuk pemain nombor satu dunia, Daniil Medvedev atau pemain ranking kelapan, Andrey Rublev.

Malah, ATP dan WTA yang mengawal acara jelajah lelaki dan wanita turut membalas dengan memotong mata ranking dari kejohanan itu.

Buat kali pertama sejak kemunculannya pada 1999 - tidak termasuk edisi 2020 dibatalkan kerana Covid-19 - Federer tidak akan bertanding apabila pemain berusia 40 tahun itu sedang dalam pemulihan selepas pembedahan lutut.

Turut tidak beraksi adalah pemain nombor dua dunia dari Jerman, Alexander Zverev, yang mengalami kecederaan ligamen buku lali serius ketika aksi separuh akhir Terbuka Perancis menentang Nadal.

Bagaimanapun, Medvedev dan Zverev tidak pernah menyinar di Wimbledon kerana kedua-duanya gagal melepasi pusingan keempat, sebelum ini.

Djokovic dan Nadal yang berada pada ranking ketiga dan keempat dunia, menjadi pilihan utama kejohanan yang bermakna mereka akan bertemu buat kali ke-60 sekiranya layak ke final nanti.

Djokovic yang juga juara pada 2011, 2014, 2015, 2018, 2019 dan 2021 berpeluang bermain di final Grand Slam kali pertama pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 10:11 AM