DJOKOVIC ketika sesi latihan di Mallorca,  Sepanyol semalam. FOTO EPA
DJOKOVIC ketika sesi latihan di Mallorca, Sepanyol semalam. FOTO EPA
AFP

London: Novak Djokovic menyasarkan untuk menyamai rekod 20 gelaran utama dan menjuarai Wimbledon keenamnya bermula minggu depan.

Dia semakin hampir muncul hanya pemain ketiga melengkapkan kalendar Grand Slam selepas pemain nombor satu dunia itu memenangi Terbuka Australia kesembilannya dan Terbuka Perancis kedua musim ini.

Rekod milik Don Budge (1937) dan Rod Laver (1962, 1969) yang merangkul empat kejuaraan utama dalam tahun sama kini dalam jangkauan pemain Serbia itu.

Pencapaian itu sukar dilakukan mana-mana pemain termasuk Roger Federer dan Rafael Nadal malah mereka mungkin sudah melupakannya.

"Semuanya tidak mustahil,'' kata Djokovic yang berusia 34 tahun selepas menjuarai Terbuka Perancis awal bulan ini ketika ditanya sama ada empat kejuaraan utama dan Sukan Olimpik adalah sasaran realistik.

"Saya mencapai sesuatu yang ramai orang berpendapat tidak mungkin saya lakukannya."

Djokovic menjuarai Wimbledon kelimanya pada 2019, menyelamatkan dua mata akhir sebelum menewaskan Federer dalam aksi final paling lama memakan masa empat jam 57 minit di All England Club.

Dia tidak dapat mempertahankan gelaran pada 2020 selepas Wimbledon dibatalkan susulan penularan pandemik.

Djokovic menang tujuh daripada 11 Slam terakhir dalam misinya menyamai rekod 20 gelaran utama yang dikongsi bersama Federer dan Nadal.

Nadal juara Wimbledon 2008 dan 2010 menarik diri daripada kejohanan tahun ini selepas masih lagi dihantui kekalahan kepada Djokovic pada separuh akhir Terbuka Perancis manakala Federer yang berusia 40 tahun pada Ogos hanya menang sekali di atas gelanggang rumput di Halle menjelang Wimbledon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:16 PM