DJOKOVIC menjulang trofi Terbuka Perancis. FOTO AFP
DJOKOVIC menjulang trofi Terbuka Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic merangkul kejuaraan Grand Slam kali ke-19 dan muncul pemain pertama dalam tempoh 52 tahun memenangi kesemua empat kejuaraan utama sebanyak dua kali selepas bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Stefanos Tsitsipas pada aksi final Terbuka Perancis, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu melakar kemenangan 6-7 (6/8), 2-6, 6-3, 6-2, 6-4 dalam tempoh empat jam 11 minit ketika menentang lawan berusia 22 tahun yang juga final Grand Slam pertamanya.

Djokovic kini hanya kurang satu gelaran utama untuk menyamai rekod sepanjang zaman 20 gelaran milik Roger Federer dan Rafael Nadal.

Ia adalah gelaran kedua dimenangi Djokovic di Terbuka Perancis selepas 2016 dan menambahnya dengan sembilan kejuaraan Terbuka Australia, lima Terbuka Wimbledon dan tiga Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 34 tahun itu muncul pemain lelaki pertama sejak Rod Laver pada 1969 yang memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam sebanyak dua kali.

Djokovic juga terpaksa beraksi lebih empat jam di atas gelanggang ketika menewaskan juara bertahan, Nadal, Jumaat lalu.

"Saya mahu berterima kasih kepada setiap individu yang bersama saya selama ini.

"Saya sudah beraksi hampir sembilan jam sejak 48 jam lalu bertemu dua lawan yang hebat. Ia sangat sukar secara fizikal sejak tiga hari lalu, tetapi saya percaya kepada kemampuan saya dan yakin boleh melakukannya," katanya.

Sementara itu Djokovic berkata dia juga mahu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo.

"Matlamatnya bersama kami adalah untuk memenangi Olimpik dan kemudian memenangi Grand Slam," kata jurulatihnya, Marian Vajda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:24 AM