Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika tiada aral melintang, jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang mampu memecah tradisi dengan membawa pulang pingat emas sulung negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Situasi berkenaan bukanlah omong kosong namun bersandarkan kepada keyakinan dan kemampuan yang dipamerkan 'The Pocket Rocketman' di bawah bimbingan John Beasley bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu.

Malah, bekas pelumba basikal trek kebangsaan, Rosman Alwi berkata, ketika ini Azizul yang berpangkalan di Melbourne, Australia sudah pun melayakkan diri ke Tokyo bagi acara keirin dan pecut individu.

Rosman yang beraksi pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles dan 1988 di Seoul berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan pelumba berusia 33 tahun itu dan percaya Azizul di landasan tepat untuk meraih emas di Tokyo.

"Walaupun kita sekarang sedang dilanda pandemik Covid-19, saya tahu Azizul tidak pernah berhenti berlatih di bawah bimbingan Beasley.

"Berdasarkan prestasi semasa termasuklah pencapaian yang dia raih dalam kejohanan baru-baru ini (Australia), insya-Allah peluang untuk menang emas itu ada…saya positif.

"Saya lihat dia kini di kemuncak prestasi. Berbaki dua bulan sebelum Sukan Olimpik bermula, kalau dia betul-betul fokus, insya-Allah tercapai cita-cita dia nanti," katanya.

Sejak Disember tahun lalu, Azizul yang juga juara dunia keirin 2017 sudah mula membuktian dia bakal hadir di Tokyo sebagai pencabar utama bagi memburu kilauan emas untuk acara keirin dan pecut individu menerusi kejayaanya memenangi emas dan perak dalam beberapa kejohanan domestik di Australia.

Pada penampilan di Sukan Olimpik Rio 2016, Azizul mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba basikal trek pertama memenangi pingat pada temasya terbesar dunia itu dengan meraih gangsa dalam acara keirin.

Dalam pada itu, Rosman percaya rakan sepasukan Azizul, Shah Firdaus Sahrom yang layak beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo dalam acara pecut individu turut berpotensi untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Shah Firdaus ini kita boleh anggap dia sebagai pelapis Azizul. Dia juga ada potensi, saya percaya mereka saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:00 AM