AZIZUL akan berentap di Velodrom Izu,  Rabu ini. FOTO Instagram azizulhasniawang
AZIZUL akan berentap di Velodrom Izu, Rabu ini. FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Tidak ramai yang betul-betul faham sebenarnya mengenai acara keirin dalam sukan berbasikal sekalipun Malaysia mempunyai ramai pelumba bertaraf dunia termasuk bekas juara dunia, Datuk Azizulhasni Awang.

Jadi tidak hairan jika pelumba berasal dari Terengganu itu berminat meluangkan masa menceritakan mengenai latar belakang acara keirin beberapa hari sebelum dia memulakan perjalanan memburu emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam hantaran vlog YouTube Azizul Awang beberapa hari lalu, dia menceritakan mengenai sejarah keirin yang bermula di Jepun pada 1948 selain perbezaan antara keirin tradisi di Negara Matahari Terbit itu dengan keirin antarabangsa.

"Semua orang tahu Malaysia mempunyai atlet bertaraf dunia dalam acara keirin. Tapi saya percaya ramai tidak mengenali secara lebih dekat acara yang amat menarik ini," katanya memulakan bicara dalam vlog berdurasi 17 minit itu.

Azizul, 33, yang bertanding kali keempat pada temasya Olimpik sejak 2008 berkata, acara keirin tradisi Jepun dilangsungkan di velodrom terbuka dengan jarak 400 meter sepusingan manakala keirin antarabangsa diadakan di velodrom tertutup dengan jarak 250m.

"Acara keirin ini hanya dipertandingkan buat kali pertama pada Sukan Olimpik Sydney 2000. Ramai tertarik dengan acara ini kerana ia mencetus keseronokan untuk menyaksikannya selain kepantasan dan penuh dramatik," katanya.

Menurutnya, pelumba acara keirin tradisi Jepun dibimbing sejak di sekolah keirin yang terletak berdekatan dengan Velodrom Izu, Shizuoka, gelanggang acara berbasikal trek pada Sukan Olimpik kali ini.

"Mereka diajar supaya berdisiplin, semua dibotakkan kepala, mendapat bimbingan awal mengenai selok-belok basikal selain menjalani pendidikan sekolah biasa," katanya.

Azizul, yang memenangi pingat gangsa acara itu pada temasya Rio 2016 menyatakan dia pernah diundang untuk menyertai perlumbaan keirin tradisi Jepun sebanyak tiga kali tetapi menolaknya atas alasan untuk terus belajar dan memburu pingat Olimpik.

"Mereka kata kalau saya bersedia, katakan saja. Ada juga saya terlintas untuk berlumba di sini sebelum bersara tapi wang kemenangan saya akan salurkan kepada badan kebajikan atau yayasan," katanya yang menjelaskan pelumba di Jepun mendapat durian runtuh pada perlumbaan hujung musim Grand Prix Keirin hingga mencecah RM3 juta namun ia hasil wang pertaruhan.

"Pelumba keirin Jepun ini memang kaya-raya, mereka menghadiri latihan memandu kereta mewah seperti Ferrari, Lamborghini," katanya sambil tersenyum.

Azizul, juara dunia keirin di Hong Kong pada 2017, akan memulakan aksi Olimpik Tokyo dalam acara pecut Rabu ini bersama rakan senegara Shah Firdaus Sahrom manakala acara keirin dilangsungkan Sabtu dan Ahad ini.

"Ini kempen Olimpik keempat saya dan saya lebih teruja berbanding biasa. Tidak sabar untuk berlumba dua hari lagi dan saya harapkan sokongan anda semua rakyat Malaysia," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 11:51 AM