FADHIL (kiri), Shah Firdaus (kanan) bersama pegawai pasukan sebelum berlepas ke Roubaix. FOTO Instagram azizulhasniawang
FADHIL (kiri), Shah Firdaus (kanan) bersama pegawai pasukan sebelum berlepas ke Roubaix. FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang melahirkan keyakinan dua pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis mampu melakar sesuatu yang membanggakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 di Roubaix, Perancis bermula esok.

"Saya percaya Shah dan Fadhil sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar negara," tulis pemenang pingat perak acara keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Azizul, 33, yang memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, mengambil keputusan untuk berehat hingga hujung tahun ini selepas mengharungi kempen Sukan Olimpik. Cabaran negara kini dipikul Shah Firdaus yang turut bertanding di Tokyo 2020 dan Fadhil.

"Saya ingin mengucapkan semoga berjaya dan berjuang habis-habisan kepada rakan sepasukan saya @shahfirdaus95 dan @fadhilzonis yang akan berlumba pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2021 di Roubaix, Perancis," tulisnya.

Shah Firdaus, 25, yang mengakhiri kempen Olimpik sulungnya di tangga ke-16 dalam keirin dan ke-12 dalam acara pecut individu, akan menyertai kedua-dua acara kegemarannya itu manakala Fadhil, 23, menyertai tiga acara - pecut individu, keirin dan 1 kilometer ujian masa.

Pada Mei lalu, Fadhil dilaporkan mengungguli ranking nombor satu dunia acara ujian masa lelaki elit selepas meraih pingat perak acara itu pada Kejohanan Piala Negara UCI di Hong Kong.

Acara keirin akan dilangsungkan pada Khamis ini, 1km ujian masa hari berikutnya manakala pecut individu pada Sabtu dan Ahad.

Azizul berkata, selepas meneliti senarai pencabar yang akan berentap di Velodrom Couvert Regional Jean-Stablinski di Roubaix, dia mempunyai satu nasihat sahaja kepada rakan seperjuangannya itu.

"Pastikan korang sampai ke garisan penamat terlebih dahulu daripada pelumba lain. All the best my bro, Allez Opi Omi!," akhirinya dalam bahasa Perancis.

Skuad berbasikal trek negara ke Perancis bukan saja tanpa Azizul malah mereka juga tidak mendapat sentuhan ketua jurulatih John Beasley. Sebaliknya penolong jurulatih Harnizam Basri akan memikul tanggungjawab itu susulan ketiadaan Beasley.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:06 PM