Aksi Azizulhasni ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
Aksi Azizulhasni ketika menyertai kejohanan. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, Datuk Lee Chong Wei percaya bahawa Mohd Azizulhasni Awang berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik, maka beliau tidak seharusnya diberikan sebarang tekanan.

Chong Wei berkata pelumba basikal elit kebangsaan itu mempunyai prospek meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, Chong Wei yang hampir memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia berkata, pelbagai cabaran tetap ada dalam misi Malaysia memburu kejayaan itu.

"Saya tahu apa yang Azizul mahukan (pingat emas) di Tokyo. Saya yakin beliau mempunyai keyakinan tinggi setelah berjaya dalam kejohanan di Australia, baru-baru ini.

"Sebagai bekas atlet, saya amat memahami perasaan beliau sekarang ini. Oleh itu, saya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada Azizul dan saya berdoa agar beliau melakukan yang terbaik di Tokyo nanti, " kata Chong Wei.

Azizulhasni meraih dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia, hujung minggu lalu.

Bekas juara dunia berusia 33 tahun itu mengalahkan seorang lagi pelumba basikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom untuk merangkul kejuaraan dalam acara pecut final lelaki pada Kejohanan Trek Victoria Elite, Februari lalu.

Azizulhasni, yang juga dikenal dengan julukan "The Pocket Rocketman", berjaya melayakkan dirinya dalam acara kegemarannya keirin dan acara pecut individu ke Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:12 PM