Pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketika tumpuan diberikan kepada Azizulhasni Awang untuk memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik, jurulatih berbasikal negara, John Beasley juga tidak meragui kemampuan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyumbang pingat di temasya sukan terbesar dunia itu.

Meskipun Olimpik Tokyo adalah penampilan pertama bintang yang sedang meningkat naik itu, Beasley percaya Shah sudah mempunyai cukup ramuan untuk menyerlah.

"Shah adalah seorang pelumba yang berbakat.

Segala-galanya bergantung kepada bagaimana dia mengawal tekanan. Secara fizikal saya yakin dia mampu membuktikan sesuatu dalam acara pecut atau keirin.

"Dia mempunyai kelebihan dari sudut fizikal dan kekuatan yang sememangnya diperlukan dalam acara pecut. Untuk acara keirin, saya rasa anda sudah melihat kemampuannya apabila memenangi Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia," katanya.

Jelas Beasley, meskipun pengalaman Shah tidak seluas Azizulhasni, namun dia mempunyai pakej lengkap untuk memenangi perlumbaan.

"Ia bergantung kepada perancangannya dan bagaimana dia mengawal tekanan tinggi di Olimpik yang seterusnya menentukan prestasinya di Tokyo. Saya sudah dapat melihat peningkatan kematangan Shah sejak 12 bulan lalu," katanya.

Beasley berkata, Shah sebelum ini pada pandangannya seorang atlet yang bergantung kepada orang di sekelilingnya.

"Bagaimanapun sejak melalui tempoh pandemik Covid-19, Shah berjaya mengatasi segala tekanan mentalnya semakin kuat.

"Shah akan menyerlah di Tokyo jika kita dapat terus memberi ruang kepadanya fokus persiapan dan tidak memikirkan hasil di Olimpik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 11:51 PM