AZIZUL ketika sesi bertemu peminat anjuran syarikat telekomunikasi  di Sunway Pyramid semalam.
AZIZUL ketika sesi bertemu peminat anjuran syarikat telekomunikasi di Sunway Pyramid semalam.
Azlan Muhammad Zain


Petaling Jaya: Pemenang pingat gangsa Olimpik Azizulhasni Awang yakin skuad negara mampu mendominasi acara trek pada Sukan SEA 2017.

Jelas Azizul, dia yakin anak buah ketua jurulatih negara John Beasley mampu menyumbang emas untuk negara dalam acara pecut seperti keirin, pecut individu dan ujian masa.

“Kita mempunyai pelumba yang mampu menguasai acara pecut, baik bagi individu atau berpasukan pada Sukan SEA nanti.

“Saya yakin. Saya sendiri sudah melihat latihan dan percaya kemampuan sebenar yang bakal dipamerkan nanti. Kita boleh sapu bersih,” katanya.

Acara trek diletakkan harapan untuk membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan mempertaruhkan 13 emas secara keseluruhan.

Malah Azizul sendiri menjelaskan akan mengambil bahagian dalam salah satu acara pada temasya dwitahunan itu.

“Saya hanya akan mengambil bahagian acara individu namun masih belum memutuskan acara apa, terserah kepada perancangan jurulatih.

“Bukan pingat emas yang menjadi keutamaan namun lebih kepada keinginan untuk beraksi di depan penonton sendiri serta velodrom pertama negara di Nilai nanti,” katanya.

The Rocketpocket Man melakar sejarah negara apabila meraih gangsa acara keirin di Olimpik Rio bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:08 AM