TUNGGAKAN gaji pemain tempatan pasukan MU berjumlah RM2.3 juta.
TUNGGAKAN gaji pemain tempatan pasukan MU berjumlah RM2.3 juta.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Melaka United (MU) dilihat mulai menemui sinar di hujung terowong apabila difahamkan sebuah syarikat terbesar tempatan sedang mengintai untuk membeli kelab terbabit.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identiti syarikat itu, perbincangan bersama pengurusan MU sedang giat dilakukan tetapi ia masih diperingkat awal.

Namun pihak terbabit dikatakan cukup komited untuk mengambil alih kelab berkenaan dan sedia menyelesaikan segala hutang termasuk tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjumlah jutaan ringgit.

"Syarikat itu sedang buat kerja-kerja melabur dalam industri bola sepak dan pasukan yang dilihat berpotensi adalah Melaka (MU).

"Ketika ini perbincangan sedang berjalan bersama pihak peguam kelab terbabit. Tunggulah dulu sehingga ada keputusan muktamad, tetapi memang syarikat itu serius dan sanggup bayar semua tunggakan gaji bekas pemain," katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya lagi, jika semuanya berjalan lancar, MU bercadang memohon kembali lesen kebangsaan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memberikan mereka kebenaran beraksi semula di Liga Super pada musim depan.

"Kalau ikutkan peraturan, MU masih boleh bermain dalam Liga Super pada musim depan kerana lesen hanya digantung sahaja. MU kena bayar semua tunggakan dan mohon semula (mohon lesen kebangsaan) kepada MFL.

"Kemudian mungkin MFL akan bawa untuk dibincangkan Ahli Lembaga Pengarah. Saya rasa tak ada masalah lesen itu dikembalikan semula jika MU ikut semua peraturan diperlukan, termasuk membayar tunggakan serta pemilik baharu yang cukup berkaliber dalam industri perniagaan di negara ini," katanya.

Sebelum ini, pemilik MU, Datuk Wira Justin Lim membuka tawaran buat mana-mana pihak yang berminat membeli saham pasukan itu selepas skuad Hang Tuah terpalit dengan isu tunggakan gaji pada musim lalu.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MU sebaik keputusan perbicaraan oleh Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dicapai pada 6 April ini.

PFAM mendedahkan tunggakan gaji pemain tempatan pasukan MU berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh enam bulan iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu, dan ia belum lagi babitkan tonggak import dan pegawai pasukan.

Pada Oktober tahun lalu, MFL mengesahkan MU dan Sarawak United gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk membenarkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super 2023.

MU didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 9:46 PM