KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak pernah berdiam diri atau buat tak tahu isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Liga Super apabila melakukan pemantauan dan bekerjasama dengan pihak tertentu bagi menyelesaikan masalah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menyemak sebarang aduan rasmi yang diterima sebelum perkara itu dibawa ke peringkat First Instance Body (FIB).

Beliau berkata, MFL juga sudah berhubung dengan pasukan yang dikatakan mengalami tunggakan gaji pemain bagi mencari jalan penyelesaian terbabit supaya masalah itu tidak berulang lagi.

"Pada masa yang sama, MFL sedia maklum mengenai masalah tunggakan gaji yang melanda beberapa kelab Liga Super seperti yang tersebar di sosial media serta mendapat liputan oleh media tempatan.

"Justeru MFL meminta pihak yang berdepan dengan masalah berkenaan supaya menggunakan saluran khusus yang mereka sendiri sedia maklum iaitu melalui FAM dan PFAM dan bukan hanya menggunakan platform media sosial," katanya.

Selain itu, MFL juga memaklumkan bahawa pihak FIB memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan dokumen yang sudah dikemukakan oleh beberapa pasukan Liga Super bagi permohonan mendapatkan Lesen Kebangsaan musim depan.

Katanya, FIB akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan mengenai status 14 kelab Liga Super selepas jawatankuasa bebas itu selesai membuat semakan awal mengenai dokumen yang dihantar oleh semua pasukan pada tarikh tutup 30 September 2023.

"Selain mencari penyelesaian terbaik dengan kes tunggakan gaji yang berlaku ketika ini, MFL menegaskan bahawa badan pengelola liga profesional tanah air itu mengambil serius pandangan yang disuarakan oleh pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai FFP (Financial Fair Play) untuk diwujudkan dalam saingan Liga Malaysia bagi mengawal perbelanjaan kelab yang bertanding.

"Protokol FFP ini sedang diperhalusi sebelum diperkenalkan dalam Liga Malaysia," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini terdapat beberapa kelab termasuk bertaraf gergasi Liga Super mengalami masalah tunggakan gaji hingga mencecah tiga bulan sekali gus mendorong pemain mereka mula 'angkat kaki' meninggalkan pasukan.

Malah, situasi terbabit juga didedahkan Tunku Ismail dalam satu temubual bersama sebuah televisyen swasta baru-baru ini apabila menyatakan terdapat pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City (KL City) FC mengalami tunggakan gaji pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:25 PM