PESARA tentera maut selepas terbabit dalam kemalangan lima kenderaan berhampiran MBS, Jalan Seremban- Tampin. FOTO ihsan Polis
PESARA tentera maut selepas terbabit dalam kemalangan lima kenderaan berhampiran MBS, Jalan Seremban- Tampin. FOTO ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Pesara tentera berusia 74 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan lima kenderaan berhampiran MBS, Jalan Seremban-Tampin, di sini, kira-kira 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan membabitkan sebuah bas, lori, dua kereta dan sebuah motosikal.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang wanita dari Ampangan menghala ke Port Dickson dikatakan mengalami kerosakan di lorong kiri.

"Kemudian datang Hyundai Getz dipandu seorang lelaki dipercayai melanggar belakang Proton Wira," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tidak lama kemudian Honda Wave ditunggang seorang lelaki dikatakan berhenti untuk memberikan bantuan kepada kenderaan yang terbabit kemalangan awal.

"Selepas itu datang sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki bersama tiga penumpang lelaki dari arah sama dipercayai berhenti di belakang kereta yang terbabit kemalangan bagi mengubah haluan ke lorong kanan.

"Tiba-tiba lori itu dikatakan dilanggar sebuah bas jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki bersama 40 pekerja kilang di bahagian belakang sebelah kanan mengakibatkan lori menggelungsur ke hadapan dan melanggar pemandu Proton Wira, pemandu Hyundai Getz dan penunggang motosikal," katanya.

Jelas beliau, akibat kemalangan itu pemandu Proton Wira meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Manakala pemandu Hyundai Getz dan penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke zon kuning Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

"Penumpang lori, penumpang Proton Wira serta penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Sudesh Kumar di talian 0164830853 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 066033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 11:08 AM