HOJLUND masih diperlukan United.
HOJLUND masih diperlukan United.
Agensi

London: Manchester United sedia melakukan perubahan drastik dengan menjual majoriti pemain utama dalam skuad mereka pada musim panas ini dengan hanya tiga pemain terselamat iaitu Kobbie Mainoo, Alejandro Garnacho dan Rasmus Hojlund.

Menurut laporan semalam, hierarki baru kelab diketuai pemilik Sir Jim Ratcliffe dan CEO Omar Berrada bersiap sedia dengan perubahan 'kejam' itu terutamanya ketika mereka perlu mematuhi peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

United terlepas slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan yang memberikan tamparan hebat kepada pelan rombakan dan masa depan pemain serta pengurus Erik ten Hag.

The Telegraph mendakwa ejen-ejen di kelab pesaing percaya regim United kini terbuka untuk menjual pemain mereka dan membuat bidaan tidak lama lagi.

Malah Marcus Rashford dibenarkan meninggalkan pasukan apabila jendela perpindahan dibuka dan United sedia memberi pertimbangan sewajarnya jika penyerang itu berhasrat untuk berpindah.

Paris Saint-Germain yang berunding dengan wakil , Rashford dua tahun lalu antara hanya beberapa kelab yang mampu membeli pemain yang dianggarkan bernilai £75 juta (RM448 juta) itu bagi menggantikan Kylian Mbappe.

Penjualan Rashford mampu menyuntik dana kepada United yang mahu meningkatkan bajet perpindahan mereka.

Kelab difahamkan mahu menandatangani penyerang baharu, pemain tengah dan pertahanan kanan tetapi mungkin tidak dapat berbelanja besar seperti tahun-tahun sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 10:10 AM