PELAJAR sekolah di Bangladesh menggunakan payung ketika hadir ke sekolah pada Ahad lalu. FOTO AFP
PELAJAR sekolah di Bangladesh menggunakan payung ketika hadir ke sekolah pada Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Mahkamah Bangladesh, semalam, memerintahkan penutupan sekolah di seluruh negara akibat gelombang panas berterusan.

Keputusan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengarahkan jutaan kanak-kanak kembali ke sekolah walaupun suhu masih tinggi.

Purata suhu di ibu negara Dhaka sepanjang minggu lalu adalah antara empat dan lima darjah Celsius lebih tinggi, daripada purata 30 tahun untuk tempoh sama.

Kerajaan berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang maut akibat panas melampau sejak awal April lalu, dengan suhu maksimum di ibu negara diramalkan kekal melebihi 40 darjah Celsius sehingga Khamis lalu.

Dua hakim Mahkamah Tinggi meluluskan perintah penutupan semua sekolah rendah, menengah dan madrasah, disebabkan gelombang panas.

Timbalan Peguam Negara, Sheikh Saifuzzaman berkata, mahkamah meluluskan perintah itu selepas dimaklumkan oleh peguam bahawa beberapa guru meninggal dunia akibat gelombang panas, tanpa memberikan butiran lanjut.

Perintah sekolah ditutup bagi 32 juta pelajar, sehingga Ahad ini. Hari kerja dan persekolahan di Bangladesh adalah dari Ahad hingga Khamis.

Kerajaan mengenakan penutupan sekolah kebangsaan selama seminggu bermula 21 April lalu ketika gelombang panas berterusan, tetapi membatalkan perintah itu pada hujung minggu lalu.

Kelas sebelum ini disambung semula di Dhaka, Ahad lalu.

Pakar meteorologi, Muhammad Abul Kalam Mallik berkata, Bangladesh tidak pernah mengalami gelombang panas yang begitu teruk sejak rekod bermula pada 1948.

Dalam pada itu, pegawai perubatan kerajaan, Kazi Abdul Momin berkata, sembilan pelajar dan seorang guru dibawa ke klinik kesihatan di kampungnya selepas jatuh sakit dalam cuaca panas.

"Berdasarkan penilaian kami, mereka mungkin jatuh sakit akibat gelombang panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 9:40 AM