Kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, sekitar 6 pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
Kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, sekitar 6 pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menempatkan dua alat pengukur kualiti udara di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru bagi memantau situasi susulan insiden pelepasan asap tebal akibat kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Klang, semalam.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan hari ini berkata, pengukuran gas pencemar menggunakan alat penganalisis pelbagai gas mudah alih yang menggunakan teknologi spektroskopi inframerah transformasi Fourier (FTIR) setakat 8 malam tadi, tidak mengesan sebarang gas toksik di udara.

"Namun begitu, pengukuran tahap kualiti udara masih diteruskan secara berkala sehingga keadaan kembali seperti biasa," katanya.

Menurut Wan Abdul Latiff, berdasarkan pengawasan melalui stesen pengawasan kualiti udara JAS di lokasi berhampiran iaitu di Pandamaran, Klang, nilai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada 8 malam adalah 69 iaitu pada tahap sederhana dan di bawah had yang ditetapkan oleh Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia.

Berikutan kemusnahan kawasan penstoran bahan mentah di premis katanya, JAS juga mengeluarkan arahan kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia terbakar ke Premis Yang Dilesenkan (PYDT), manakala penilaian di lapangan turut mendapati parit di sekitar kawasan SK Meru dicemari pigmen berwarna hijau.

Beliau berkata, kerja pembersihan selesai sepenuhnya petang semalam, namun pada masa sama, pemantauan pengaliran air daripada aktiviti pemadaman di kawasan premis terus dijalankan bagi memastikan air daripada aktiviti pemadaman tidak disalurkan ke kawasan perparitan luar premis dan menjejaskan kualiti air.

Semalam, dua bangunan sebuah premis pembuatan cat di Taman Perindustrian Meru, terbakar kira-kira 6.20 pagi dan berdasarkan siasatan awal, kebakaran itu membabitkan kawasan penstoran bahan mentah mudah terbakar berunsurkan pelarut organik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 9:53 AM