STUART menyeru mana-mana pihak yang berdepan dengan masalah berkenaan agar menggunakan saluran khusus FOTO OWEE AH CHUN
STUART menyeru mana-mana pihak yang berdepan dengan masalah berkenaan agar menggunakan saluran khusus FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akui First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memerlukan sedikit masa untuk mengumpul maklumat tambahan berkenaan dokumen babitkan permohonan lesen kebangsaan untuk musim depan.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dan mengakui keputusan FIB akan diketahui dalam masa terdekat ini.

"FIB akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan mengenai status 14 kelab Liga Super selepas jawatankuasa bebas itu (FIB) selesai membuat semakan awal mengenai dokumen yang dihantar oleh semua pasukan pada tarikh tutup 30 September 2023," katanya.

Sebelum ini, MFL sepatutnya membuat sidang media pada 19 Oktober lalu namun ia terpaksa ditangguhkan ekoran FIB memerlukan lebih masa menilai kesemua dokumen daripada 14 pasukan.

Difahamkan, hampir separuh pasukan berdepan isu tunggakan gaji yang memberi tekanan kepada FIB dan MFL dalam meluluskan permohonan lesen kebangsaan buat beberapa kelab yang sedang berhadapan kemelut itu.

Berdasarkan kepada kes musim lalu, Melaka United dan Sarawak United tidak diberikan lesen kebangsaan sekali gus dihalang beraksi dalam Liga Super musim ini.

Lantas persoalan kini timbul bagaimanakah nasib Liga Malaysia pada musim 2024 sekiranya hampir separuh pasukan gagal memenuhi syarat pelesenan khususnya berkaitan tunggakan gaji dan potongan wajib babitkan KWSP dan LHDN.

Stuart menegaskan, semua kelab sepatutnya memikul tanggungjawab penuh dalam mengawal perbelanjaan ­pasukan supaya tidak terjebak dengan isu tunggakan gaji.

"Kami sedang bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menyemak sebarang aduan rasmi yang diterima sebelum perkara itu dibawa ke peringkat FIB.

"MFL juga ­telah berhubung ­dengan pihak kelab terbabit dalam usaha mencari kaedah penyelesaian terbaik.

"Selain itu, MFL juga menyeru mana-mana pihak yang berdepan dengan masalah berkenaan agar menggunakan saluran khusus yang mereka sendiri sedia maklum.

"Mereka boleh mendapatkan FAM atau PFAM, bukannya menggunakan platform media sosial," katanya.

Ketika ini, difahamkan sekurang-kurangnya empat pasukan mengalami kelewatan pembayaran kepada pemain dan pegawai babitkan Kelantan FC, Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC dan satu pasukan dari Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 4:08 PM