SALAH seorang pengurusan pasukan Kelantan United yang dihubungi mengesahkan berlakunya tunggakan. FOTO Ihsan Kelantan United
SALAH seorang pengurusan pasukan Kelantan United yang dihubungi mengesahkan berlakunya tunggakan. FOTO Ihsan Kelantan United
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Kita nak tolong pengurusan kelab bagi lepas (dapat pelesenan Liga Malaysia tahun depan), tapi kita pula jadi mangsa gaji tak di bayar.

"Ini dah melampau...dah boleh kata setengah tahun tak ada gaji lebih kurang lima bulan ini. Tapi tunggakan pemain import bayar pula."

Demikian keluhan sumber yang juga salah seorang barisan skuad Kelantan United musim ini yang mengakui terkilan dengan pengurusan kelab itu.

Jelas sumber, rata-rata pemain tempatan seolah dianaktirikan apabila hampir lima bulan tidak dibayar gaji, sedangkan tonggak import pula mendapat layanan berbeza apabila tunggakan diselesaikan oleh pengurusan.

Katanya, ia bagi mengelak pemain import melaporkan isu terbabit kepada Fifa namun tonggak tempatan pula dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan tunggakan.

"Kita belum lapor PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) sebab mahu jaga nama kelab. Kami dapat info kelab bayar gaji import, tetapi gaji pemain tempatan tiada.

"Semalam, selesai gaji dua hingga tiga bulan import sebab mereka (import) mahu laporkan kepada Fifa. Itu yang menyebabkan kami ralat, kalau sebulan dua biasa, tetapi gaji kami tertunggak hampir setengah tahun.

"Proses pelesenan pun mereka sudah lepas sebab kita jaga kelab tak mahu hebohkan kerana tahu kelab tengah bergelut, kami tetap diam biarpun (tak dapat gaji) lima bulan.

"Tetapi bila mereka buat begini (bayar gaji import sahaja), ini sudah tidak betul. Kami pemain tempatan pun ada komitmen sendiri dan buat masa ini tiada apa-apa yang dijanjikan kelab, mereka hanya berdiam diri sahaja.

"Saya bercakap untuk pemain lain juga, ada yang kereta kena tarik, kena sorok kereta, kena halau keluar rumah dan terpaksa pinjam duit. Saya rasa, ini sudah melampau kalau macam ini, kami dibiarkan terkapai-kapai," kata sumber itu.

Sementara itu, salah seorang pengurusan pasukan Kelantan United yang dihubungi mengesahkan berlakunya tunggakan dan menegaskan pihaknya akan segera mencari jalan penyelesaian.

"Tunggakan memang berlaku untuk beberapa bulan, ketika ini pengurusan sedang berusaha menyelesaikan semua masalah tersebut bagi memastikan kebajikan pemain tidak terabai," kata pengurusan itu yang enggan namanya didedahkan.

Sebelum ini, Kelantan United antara 13 kelab yang berjaya meraih Lesen Kebangsaan untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim depan selepas berjaya melepasi syarat pelesenan termasuk tiadanya tunggakan gaji.

Selain skuad Sang Kijang Hijau, difahamkan Kuala Lumpur City FC juga sedang berdepan isu tunggakan gaji sekali gus menimbulkan persoalan tentang status pelesenan yang sudah diberikan sebelum ini oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 6:40 PM