Tinjauan di sepanjang Sungai Golok mendapati beberapa bot tersadai dan Sungai Golok juga sepi tanpa sebarang pergerakan selain kawalan ketat dilakukan oleh kedua-dua negara sama ada Thailand dan Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di sepanjang Sungai Golok mendapati beberapa bot tersadai dan Sungai Golok juga sepi tanpa sebarang pergerakan selain kawalan ketat dilakukan oleh kedua-dua negara sama ada Thailand dan Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Tiada pergerakan di sepanjang Sungai Golok selain kawalan ketat dilakukan oleh kedua-dua negara sama ada Thailand dan Kelantan.

Ia susulan insiden letupan bom dan berbalas tembakan mengakibatkan empat anggota polis cedera, dalam kejadian 12.05 tengah malam kelmarin di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand.

Tinjauan di sempadan mendapati belasan bot tersadai dan Sungai Golok juga sepi tanpa sebarang pergerakan.

Pada masa sama, pasukan keselamatan masing-masing di sebelah Kelantan dan Thailand juga kelihatan membuat kawalan pergerakan.

Pemandu bot yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 52, berkata sejak semalam pergerakan membabitkan Sungai Golok tidak dibenarkan sama sekali.

"Sejak semalam polis di Malaysia (Kelantan) dan Thailand mengawal kawasan sempadan selepas berlaku letupan bom dan berbalas tembakan.

"Susulan larangan pergerakan pangkalan haram di Sungai Golok semalam, orang ramai tidak berani untuk menyeberangi dan lebih 10 bot kini tersadai seketika.

"Buat masa ini memang semua tidak berani mengambil risiko untuk ke Thailand melalui Sungai Golok. Mungkin selepas keadaan tenang, pergerakan kembali dibenarkan," katanya.

Terdahulu, pergerakan membabitkan keluar masuk Kelantan-Thailand menerusi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok tidak dibenarkan oleh pasukan keselamatan di Thailand berkuat kuasa semalam.

Sumber pasukan keselamatan Thailand, berkata sebarang pergerakan membabitkan pangkalan haram tidak dibenarkan buat sementara waktu susulan pihaknya sedang mengesan dalang di sebalik kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 11:05 AM