TERZIC memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Atletico.
TERZIC memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Atletico.
Agensi

Dortmund: Selepas berentap dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain sekali lagi bertembung pada aksi peringkat pertama separuh akhir di Westfalenstadion, awal pagi Khamis ini.

PSG menduduki tangga kedua di belakang Dortmund dalam Kumpulan F walaupun meraih empat mata dalam dua perlawanan menentang kelab Bundesliga itu.

Les Parisiens seri 1-1 di Westfalenstadion pada aksi terakhir Disember lalu dan tidak pernah menewaskan BVB dalam tiga kunjungan ke Jerman.

Kedua-dua pasukan bangkit daripada ketinggalan pada suku akhir menentang lawan dari Sepanyol dengan BVB mengatasi Atletico Madrid dan PSG menewaskan Barcelona.

Dortmund kali pertama mara ke separuh akhir UCL sejak di bawah kendalian Jurgen Klopp pada 2012-13 apabila menewaskan Atletico Madrid 5-4 secara agregat.

Persiapan terakhir mereka menjelang pertemuan dengan PSG tidak seperti dirancang apabila gagal menang dua aksi terakhir Bundesliga, seri 1-1 dengan juara Bayer Leverkusen selepas melepaskan gol penyamaan minit ke-97 sebelum tewas 1-4 di RB Leipzig hujung minggu lalu.

Kekalahan itu menyempitkan impian BVB untuk menduduki kelompok empat teratas. Skuad Edin Terzic kini di tangga kelima carta liga, lima mata di belakang Leipzig di tangga keempat ketika berbaki hanya tiga perlawanan.

PSG pula hanya selangkah untuk menjulang trofi UCL pertama mereka selepas menewaskan juara lima kali Barcelona 6-4 menerusi agregat pada suku akhir dan mara ke separuh akhir ketiga dalam lima musim.

Les Parisiens dinobatkan juara Ligue 1 buat kali ke-12 pada Ahad lalu tanpa menendang bola selepas pasukan di tangga kedua Monaco tewas di Lyon.

Skuad Enrique kini bersemangat tinggi ketika bersiap sedia ke Jerman dan mereka yakin meraih kejayaan selepas tidak tewas dalam 15 aksi terakhir di tempat lawan dalam semua kejohanan sejak twas 1-2 di AC Milan pada peringkat kumpulan UCL enam bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 9:28 AM