STANLEY mengakui berlaku kelewatan pembayaran gaji kepada pemain KL City FC. FOTO ARKIB NSTP
STANLEY mengakui berlaku kelewatan pembayaran gaji kepada pemain KL City FC. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) yakin dapat meraih lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan meskipun berdepan isu kelewatan pembayaran gaji pemain.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard yang mengakui sememangnya berlaku kelewatan pembayaran gaji pemain.

"Setakat ini, kami (KL City) tiada masalah berkenaan proses untuk mendapatkan lesen kelab. Memang ada sedikit kelewatan, tetapi bayaran kepada pemain memang kita lakukan.

"Yang keluarkan kenyataan lewat itu bukan pemain tetapi saya, kita kena jujur memang ada kekangan sebab KL City pergi mencari penaja sendiri.

"Walaupun bajet kami kecil, tetapi dari segi bonus kita bayar tepat pada masanya," katanya kepada Arena Metro.

Ujar Stanley, pihaknya sudah memberi segala dokumen dikehendaki oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) untuk proses selanjutnya.

Sebelum ini, MFL sepatutnya membuat sidang media pada 19 Oktober lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan ekoran FIB memerlukan lebih masa menilai semua dokumen daripada 14 pasukan.

Difahamkan, hampir separuh pasukan berdepan isu tunggakan gaji yang memberi tekanan kepada FIB dan MFL dalam meluluskan permohonan lesen kebangsaan buat beberapa kelab yang sedang berhadapan kemelut itu.

Berdasarkan kepada kes musim lalu, Melaka United dan Sarawak United tidak diberikan lesen kebangsaan, sekali gus dihalang daripada beraksi dalam Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 6:23 PM