BARISAN pemain negara melambai ke arah penonton selepas perlawanan menentang Kemboja. -FOTO Ihsan FB FAM
BARISAN pemain negara melambai ke arah penonton selepas perlawanan menentang Kemboja. -FOTO Ihsan FB FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain tengah bertahan skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin melahirkan rasa gembira selepas berjaya meledak gol pertamanya di peringkat antarabangsa dan apa yang lebih istimewa, ia dilakukan dalam aksi sulungnya di pentas itu.

Katanya, dia tidak menyangka dapat mencetak nama selaku penjaring ketika membantu pasukan negara melakar kemenangan 4-0 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Dalam aksi itu, Wilkin yang berusia 24 tahun dan memiliki darah campuran England-Malaysia meledak gol keempat negara pada minit 86 selepas menyambar bola yang muntah daripada tangkapan penjaga gol Kemboja yang gagal menangkap kemas rembatan Safawi Rasid.

"Sungguh menakjubkan, ia bagai mimpi dapat menjaringkan gol dalam penampilan pertama.

"Saya sangat bangga dapat mewakili negara dan bermain dalam perlawanan ini, saya harap terus dapat peluang lagi," kata pemain Sabah FC itu.

Untuk rekod, bekas pemain akademi belia kelab Southampton dari Liga Perdana Inggeris itu dilihat berjaya membentuk gandingan mantap bersama tonggak naturalisasi, Lee Tuck dalam perlawanan pemanas badan itu.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu ini sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, 21 Disember ini.

Malaysia kemudiannya dijadual berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari) dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:19 PM