Penjaga gol Kemboja ketika cubaan menepis bola pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
Penjaga gol Kemboja ketika cubaan menepis bola pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan hampir separuh pemain utama skuad Harimau Malaya langsung tidak menjejaskan rentak pasukan negara apabila mudah meratah Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Kehadiran pemain baharu tampaknya lebih mengancam sekali gus melegakan pengendali, Kim Pan-gon menjelang kempen Piala AFF pada 21 Disember ini.

Malah, aksi bertenaga dengan corak permainan berintensiti tinggi dilihat berjaya dikuasai pasukan negara biarpun terpaksa beraksi dalam situasi hujan dan padang yang licin.

Dalam aksi itu, Pan-gon hanya mengekalkan tiga pemain utama dalam kesebelasan pertama daripada skuad yang layak ke Piala Asia Jun lalu iaitu Faisal Halim, Darren Lok dan Khuzaimi Piee.

Selebihnya, lapan pemain lagi adalah muka baharu termasuk tonggak naturalisasi negara Lee Tuck, David Rowley, Stuart Wilkin, Azam Azmi Murad dan ramai lagi.

Percaturan jurulatih negara dari Korea Selatan itu nyata menjadi apabila Faisal berjaya meletakkan Malaysia di depan seawal minit ke-11, sebelum Tuck pula meledak dengan gol kedua di minit 38.

Faisal terus menjadi duri dalam daging buat Kemboja, apabila bijak menyungkit bola untuk menewaskan Hul Kimhuy di hujung babak pertama, sekali gus selesa mendahului pelawat dengan 3-0.

Tonggak JDT yang bakal dipinjamkan ke kelab Thailand, Ratchaburi FC iaitu Safawi Rasid dimasukkan pada babak kedua, dan impak kemasukannya cukup menjadi.

Safawi nyaris mencatatkan nama selaku penjaring namun tandukan terbangnya di minit 64 sedikit tersasar selepas memanfaatkan hantaran silang Tuck.

Gol tambahan tuan rumah akhirnya menjelma di minit 87 menerusi sentuhan Wilkin yang menyambar bola hasil tangkapan kurang kemas Kimhuy selepas Safawi melepaskan rembatan di luar kotak penalti.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan Maldives dalam aksi persahabatan kedua pada Rabu ini yang dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 11:08 PM