WILKIN (kanan) meraikan jaringannya ketika bertemu Singapura. FOTO Eizairi Shamsudin
WILKIN (kanan) meraikan jaringannya ketika bertemu Singapura. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saham pemain skuad Harimau Malaya nampaknya cukup tinggi terutama di Liga Thailand apabila terbaharu dua pemain utama Kim Pan-gon berjaya memikat perhatian kelab Port FC.

Dua tonggak itu ialah pemain kacukan Stuart Wilkin dan Darren Lok yang diakui antara tonggak yang sedang diikuti rapat oleh pasukan di liga utama Thailand itu.

Perkara itu diakui pemilik Port FC, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali dengan panggilan Madam Pang yang juga pengurus pasukan bola sepak Thailand.

"Ketua pasukan anda bernombor 11 akan bermain di Thailand bersama Ratchaburi FC (Safawi Rasid) dan juga seorang lagi bersama Buriram United (Dion Cools) di mana dia tidak bersama saingan (Piala AFF) kali ini.

"Sudah tentu saya bukan hanya datang untuk skuad kebangsaan saya, tetapi juga memantau dan melihat pemain-pemain dalam kejohanan ini juga (Piala AFF).

"Saya ada lihat ketika perlawanan dengan Singapura dan semua juga ada melihat persembahannya. Anda mempunyai ramai pemain yang bagus dan saya melihat pemain anda bernombor 8 (Wilkin) dan 9 (Lok), dan sebenarnya semua juga bagus.

"Tapi saya lihat pemain nombor 8 menjaringkan dua gol ke atas Singapura. Permainan yang baik dan kerjasama berpasukan yang bagus," katanya pada sesi santai bersamanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Wilkin meledak dua gol ketika membantu Malaysia menumbangkan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B untuk meraih kemenangan 4-1, dengan Lok turut menjaringkan gol selain Sergio Aguero.

Berdasarkan kedudukan Liga Thailand, Port FC kini menghuni tangga ketujuh daripada 16 pasukan dengan Buriram United di kedudukan pertama. Ketika ini liga di negara itu berhenti rehat bagi memberi laluan kepada saingan Piala AFF.

Begitupun harapan untuk membawa dua tonggak itu mungkin sukar ketika kedua-duanya baharu menandatangani kontrak dengan pasukan Sabah FC musim ini.

Dalam perkembangan sama, Madam Pang turut akui sedia menjalinkan kerjasama dengan kelab di Liga Malaysia.

"Saya rasa amat baik jika kita ada kerjasama dengan Malaysia kerana Liga Malaysia juga hebat dan makin meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 12:35 PM