FAISAL menyerah lilitan kapten pasukan kepada Safawi Rasid. -FOTO Ihsan FB FAM
FAISAL menyerah lilitan kapten pasukan kepada Safawi Rasid. -FOTO Ihsan FB FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan negara, Faisal Halim mahu aksi sama dapat diteruskan sepanjang kempen Piala AFF hujung bulan ini selepas skuad kendalian Kim Pan-gon mempamerkan persembahan menakjubkan ketika membelasah Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Jelas Faisal, dia memuji aksi cemerlang pemain baharu negara dalam aksi itu yang tidak menunjukkan tanda-tanda kekok.

Malah katanya, dua gol yang dijaringkan olehnya tidak penting sebaliknya bekas pemain Terengganu FC itu lebih teruja melihat persembahan mantap pemain baharu.

"Saya tak perlu berbangga dengan dua jaringan itu, yang saya bangga sekarang pemain-pemain tak pernah beraksi dalam skuad Harimau Malaya.

"Pada malam ini (Jumaat lalu) semua dapat berikan komitmen baik, saya sangat terkejut…dan jurulatih Kim (Kim Pan-gon) jalankan tanggungjawab yang sukar sebenarnya.

"Apabila panggil kebanyakan pemain tidak pernah bersama sebelum ini tetapi mereka (pemain) buktikan layak dalam skuad, itu saya bangga," katanya selepas aksi itu.

Dalam perlawanan itu, Faisal sendiri merekodkan dua gol masing-masing pada minit ke-11 dan 46, manakala Lee Tuck dan Stuart Wilkin di minit 38 dan 86.

Dua jaringan itu meletakkan pemain sayap lincah itu sudah merekodkan empat gol di peringkat antarabangsa melalui 12 perlawanan dilaluinya bersama Malaysia sejak 2019 lalu.

Skuad negara kini dalam persiapan untuk menghadapi Piala AFF yang dijadual berlangsung pada 21 Disember ini, di mana pasukan kebangsaan diundi dalam Kumpulan B dengan Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Selepas ini, pemain akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 1:24 PM