WILKIN (kanan) meraikan jaringannya yang juga gol ketiga untuk Malayaia pada perlawanan Piala AFF menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin
WILKIN (kanan) meraikan jaringannya yang juga gol ketiga untuk Malayaia pada perlawanan Piala AFF menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi luar biasa dipamerkan tonggak Harimau Malaya, Stuart Wilkin dengan menyumbat dua gol ketika bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi bakal menyaksikan dia antara pemain 'dalam pemantauan' khusus buat pasukan Thailand Sabtu nanti.

Wilkin membantu Malaysia meraih kemenangan bergaya pada saingan terakhir kumpulan B Piala AFF apabila membenam Singapura 4-1 sekali gus menempah tiket ke separuh akhir kejohanan itu.

Walaupun, banyak mata mula memandangnya namun Wilkin menganggap perkara itu bukan masalah besar kerana dia tetap fokus mahu terus menjadi 'mesin' gol buat skuad Harimau Malaya.

Katanya, dia percaya 'air tangan' pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan komitmen tinggi dipamerkan rakan sepasukannya mampu mengekalkan rekod kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelak.

"Mereka percaya mana-mana pemain yang diberi kepercayaan untuk turun bermain dapat memberi persembahan membanggakan buat peminat.

"Saya akan ambil nasihat jurulatih serta rakan sepasukan yang memiliki banyak pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Untuk perlawanan seterusnya, kami perlu bersedia dengan cabaran yang menunggu. Kami akan cuba buat yang terbaik dan menikmati perlawanan," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan selepas melakar kemenangan 4-1 menumpaskan Singapura, sekali gus menebus kegagalan edisi lalu apabila terkandas di pusingan awal.

Dalam aksi itu, skuad Harimau Malaya meraih jaringan menerusi Darren Lok pada minit 35, Stuart Wilkin (m-51 dan 54) dan Sergio Aguero (m-88), sementara Singapura pula membawa pulang gol saguhati melalui sentuhan Faris Ramli di minit 85.

Selain itu, Wilkin berkata, aura Stadium Nasional Bukit Jalil terutamanya sokongan padu daripada penyokong membuatkan 'bergetar' sekali gus meniup semangat untuk menjaringkan gol untuk negara.

"Terima kasih kepada semua penyokong kerana anda buat saya melalui detik indah dan sungguh teruja. Apa yang saya lakukan adalah demi anda dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 3:43 PM