WILKIN (kanan) ketika diasak oleh pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
WILKIN (kanan) ketika diasak oleh pemain Thailand, Sasalak Haiprakhon pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Aswadi Alias
Syafiq Aznan


Bangkok: Skuad Harimau Malaya perlu tampil lebih 'garang' dengan turut memburu gol supaya dapat terus 'menekan' Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, malam esok.

Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin menegaskan sekiranya Malaysia berjaya merobek gawang gol Thailand, situasi itu pasti membuatkan Thailand 'sesak nafas' kerana Malaysia memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Sudah tentu kita tidak mahu dibolosi tetapi kita juga tahu berdepan Thailand bukanlah satu aksi yang mudah.

"Kita harus mencari gol juga supaya dapat memberi tekanan kepada Thailand di mana mereka perlu mendapatkan tiga gol dalam situasi itu.

"Ini satu cabaran yang besar tetapi kami akan melakukan yang terbaik demi negara," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Thammasat, petang tadi.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan membawa bekalan satu gol hasil kemenangan tipis 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Dengan bekalan satu gol itu, skuad negara hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tempat ke final Piala AFF 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:32 PM