ABDUL Latif meraikan jaringannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ABDUL Latif meraikan jaringannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pemain gantian, Abdul Latiff Suhaimi muncul wira Kelantan apabila menjaringkan gol tunggal buat Kelantan dalam aksi menentang Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 1-0, petang tadi.

Latiff, 33 tahun memecah kebuntuan gol Kelantan selepas melibas rendah bola ke gawang Skuad Projek pada minit ke-76.

Pada pembukaan perlawanan, tuan rumah bermula garang apabila banyak aksi ke arah gol dibuat namun kesudahan tumpul.

Minit ke-30, pemain, Jasmir Mehat hampir menjaringkan gol pertama Kelantan namun hantaran bola terlalu perlahan hingga didakap kemas penjaga gol, Al-Iman Wahiey Muhamad Amir.

Percubaan empat kali pemain muda, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman membolosi gawang pelawat turut kecundang apabila sekadar melepasi tiang gol minit ke-31, 34, 36 dan 41.

Kedua pasukan terus buntu mencipta jaringan hingga tiupan wisel tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua,meskipun Kelantan sekali lagi dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya ini terus ketandusan gol.

Tandukan import, Nixon Guylherme turut tersasar melepas tiang mengecewakan 5,000 penonton di Stadium Muhammad ke IV, Kota Bharu minit ke 55.

Percubaan pertama Skuad Projek FAM-MSN menembusi gawang skuad kijang merah hadir pada minit 64 namun sempat diselamatkan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.

Gol yang ditunggu akhirnya muncul menerusi aksi penuh dramatik hasil lipatan padu, pemain gantian, Abdul Latiff Suhaimi.

Terdahulu, gawang pelawat kelam kabut menampan serangan bertali arus pemain Kelantan FC sebelum Latif yang dibawa masuk menggantikan Shahrul Igwan Samsudin minit ke-66 muncul wira apabila melibas kemas bola ke gawang skuad projek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 8:37 PM