GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat dipercayai menerima rasuah dan tuntutan palsu berkaitan kes RM3.3 juta, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Nurmadiana Mamat selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Kedua-dua suspek berkenaan akan direman hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan kes rasuah itu mengikut Seksyen 16 dan 18 AKTA SPRM 2009.

Hari ini, media melaporkan ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air dan seorang pemilik syarikat ditahan dipercayai menerima rasuah dan tuntutan palsu berkaitan kes RM3.3 juta, semalam.

Sumber SPRM dilaporkan berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 38 dan 35 itu telah ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Penahanan itu berikutan siasatan atas beberapa aduan sekitar 2023, di mana suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air berkenaan.

Suspek juga dilaporkan dipercayai terbabit dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Penahanan ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air negeri dan seorang pemilik syarikat semalam itu menyusul selepas SPRM menahan dua pegawai atasan sebuah syarikat pembekalan air negeri terbabit kelmarin.

Dua pegawai atas syarikat pembekalan air itu dilaporkan dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua pemilik syarikat kontraktor, sebelum direman sehari dan dilepaskan atas jaminan SPRM, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 12:18 PM