FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya mula terjebak melakukan seks songsang sewaktu berumur 18 tahun. Pada awalnya, saya lakukannya secara bebas, namun selepas memiliki pasangan, saya setia kepadanya dan hubungan kami bertahan hampir setahun".

Demikian kata Zaki (bukan nama sebenar), 23, berkaitan kehidupan peribadinya sebelum dia disahkan menghidap HIV positif pada Mei tahun lalu.

Menurutnya, dia kini sudah berpisah dengan kekasihnya dan mengambil ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) serta menjalani rawatan Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART)," katanya kepada Harian Metro.

Kata Zaki, bagaimanapun, pasangannya ketika itu disahkan negatif HIV sebelum akhirnya memutuskan hubungan.

Menurut Zaki yang berasal dari Negeri Sembilan, dia masih merahsiakan penyakit dihidapi itu daripada pengetahuan keluarga.

"Saya tidak ada sebarang gejala. Cuma, saya secara tiba-tiba tergerak hati hendak buat pemeriksaan kesihatan. Saya juga buat ujian darah. Hasil keputusan saya positif HIV.

"Memandangkan sebelum ini saya menghidap siflis, jadi darah dihantar ke makmal dahulu. Hasil laporan juga sama dan doktor sahkan ia HIV. Sejak itu, saya melakukan pemeriksaan berkala setiap bulan.

"Hingga kini, saya rahsiakan penyakit ini daripada semua. Saya takut hendak beritahu keluarga terutaman mak kerana dia tidak sihat. Saya lebih banyak bercerita mengenai penyakit ini dengan rakan senasib," katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Menurutnya, perkara itu membuatkan dia berasa lemah semangat dan lebih banyak menyendiri sehingga dinasihati menjalani pemeriksaan mental.

"Sebabnya, sebelum itu, saya fikir hanya hendak mati saja," katanya.

Menurutnya, sejak bacaan Undetectable Viral Load (UVL) semakin baik, dia hanya perlu menjalani rawatan susulan antara tiga hingga empat bulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 12:31 PM