BARISAN pemain Sri Pahang meraikan kejayaan ke separuh akhir. FOTO Sri Pahang FC
BARISAN pemain Sri Pahang meraikan kejayaan ke separuh akhir. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang tidak berdepan masalah untuk layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada pusingan kedua piala itu di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah bermula baik dan tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan iaitu seawal minit kelima.

Jaringan itu disempurnakan oleh penyerang import, Mahmoud Za'tara menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang daripada Abdul Malik Mat Ariff.

Minit ke-27, Za'tara menjaringkan gol kedua yang turut diperolehi hasil tandukan untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohamad Nabil Asyraf Ramli buat kali kedua.

Skuad muda negara berusaha untuk menembusi kubu tuan rumah tetapi berjaya disekat oleh barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai kapten, Nicholas Swirad.

Sebelum tamat separuh masa.pertama, tuan rumah hampir menambah gol ketiga tetapi sepakan percuma Hidalgo terkena tiang gol di sebelah kanan lawan.

Bersambung babak kedua, skuad Projek FAM-MSN tampil lebih mantap dalam usaha mempertahankan gawang daripada dibolosi.

Peluang terbaik skuad muda negara hadir menerusi Muhammad Harith Najwan Jamil pada minit ke-73 tetapi bola rembatan pemain tengah itu melepasi palang gol tuan rumah.

Sri Pahang turut beberapa kali menguji jentera pertahanan dan seminit sebelum perlawanan tamat, pemain gantian, Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir menjaringkan gol ketiga buat Sri Pahang.

Kemenangan 3-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN mengesahkan Sri Pahang layak ke suku akhir piala berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 10:44 PM