Pemain KUFC, Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin (kanan) cuba melepasi pemain Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain KUFC, Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin (kanan) cuba melepasi pemain Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pasukan 'budak lepasan sekolah' Skuad Projek FAM-MSN akhirnya menoktahkan badi kekalahan apabila menewaskan pasukan Kelantan United Football Club (KUFC) 1-0 pada perlawanan Liga Perdana, petang tadi.

Kemenangan pertama itu dilakar pasukan kendalian Yusri Che Lah yang sebelum ini hanya mencatat 14 kekalahan dan tiga seri sepanjang liga musim ini.

Jaringan tunggal pemain, Azhad Harraz Arman pada minit ke 77 cukup untuk pelawat membawa pulang tiga mata berharga.

Terlebih dulu, aksi babak pertama, tuan rumah, KUFC dilihat mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan menjaringkan gol termasuk sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi minit ke sembilan yang sekadar melintasi tiang gol.

Fakhrul Zaman sekali lagi mencuba nasib dengan tandukan deras ke gawang pelawat namun tersasar pada minit ke 15.

Import KUFC, Gassama Alfusainey hampir meledak gol pertama buat tuan rumah namun tandukannya sedikit tersasar pada minit ke 24.

Skuad Projek FAM-MSN melakukan serangan balas menerusi Muhaimin Izuddin Muhammad Asri pada minit ke 63 namun rembatannya gagal menewaskan penjaga gol KUFC, Mohammad Fikri Che Soh.

Menjelang minit akhir perlawanan, Azhad muncul wira apabila melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti menyaksikan Skuad Projek FAM-MSN mendahului KUFC.

Penjaga gol Skuad Projek FAM-MSN, Muhamad Haziq Mukriz mengalami kecederaan dibawa ke hospital setelah terlanggar tiang gol, pada aksi Liga Perdana.
Penjaga gol Skuad Projek FAM-MSN, Muhamad Haziq Mukriz mengalami kecederaan dibawa ke hospital setelah terlanggar tiang gol, pada aksi Liga Perdana.

Perlawanan dihentikan seketika selepas penjaga gol pelawat, Muhammad Haziq Mukriz Mohamed Hasemuddin mengalami kecederaan selepas terlanggar tiang gol.

Bersambung semula perlawanan, kedua-dua pasukan cuba mencari peluang menjaringkan gol namun gagal menemui jaringan untuk memberikan kemenangan mutlak pada Skuad Projek FAM-MSN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 8:18 PM