Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.

Perdana Menteri berkata, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan jumlahnya akan lebih tinggi daripada itu.

"Untuk tahun depan, bila kita mula laksanakan, ia akan mencecah lebih RM10 bilion, kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan.. dan ini adalah kenaikan paling baik dalam negara.

"Kita juga akan meneliti daripada segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan Pekerja KESUMA Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar turut menjelaskan, pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun tetap mesti melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 11:29 AM