Muhaamad Hafis Nawawi


Klang: Waris tetap membantah penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, bagi pembinaan projek laluan rel selepas mendakwa tanah itu asalnya diwakaf untuk kubur.

Malah mereka turut mahu keputusan sebulat suara diperoleh dengan mengumpul kesemua waris dalam pertemuan khas di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Ahad ini.

Salah seorang waris, Aminnullah Kamarudin, 39, berkata, di membantah sepenuhnya pemindahan kubur arwah ibunya itu kerana lokasi berkenaan berada di kawasan tanah wakaf.

Menurutnya, pihak berkaitan perlu mengambil kira sensitiviti isu itu dengan menggunakan laluan lain tanpa menyentuh pusara yang kebanyakannya hanya baharu dua tahun dikebumikan.

"Saya bukan memikirkan soal pampasan namun tanah wakaf bagi kubur tidak sepatutnya dijadikan sebagai laluan ECRL.

"Justeru, saya kekal membantah kerja penggalian dan pemindahan itu selain mahu jalan penyelesaian tuntas diputuskan pihak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu hari ini.

Bagi seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata dia kecewa pemakluman mengenai kerja pemindahan itu tidak dilakukan secara lebih awal.

"Kami hanya dimaklumkan pada hujung April lalu sedangkan ia membabitkan projek pembinaan berskala besar.

"Justeru, saya mahu sesi pertemuan hujung minggu ini disertai keseluruhan 90 waris dan mereka wajib dikumpulkan bagi memperoleh keputusan sebulat suara," katanya.

Pekerja swasta itu berkata, dia setakat ini sudah mendapatkan 26 waris yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan pemindahan kubur terbabit.

Dalam pada itu, wakil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, pihaknya masih mengesan 20 lagi waris bagi menyelesaikan isu terbabit.

"Kita akan cuba mencari mereka bagi turut menyertai pertemuan di MBDK nanti.

"Namun, kita akan memastikan segala kerja pemindahan kubur itu dilaksanakan mengikut syariat Islam dan prosedur yang betul," katanya.

Terdahulu, lebih 200 waris dan penduduk setempat menyertai pertemuan selama sejam bersama wakil Jais mengenai isu terbabit.

Tinjauan mendapati kawasan kubur yang ditutupi zink biru itu turut dikawal puluhan anggota polis dengan dihadiri Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sebahagian waris kubur Tanah Perkuburan Selat Klang di sini, mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pemindahan tapak tanah perkuburan berkenaan bagi memberi laluan

Mereka turut kecewa apabila tidak dipanggil untuk sesi libat urus dan perbincangan dilakukan bersama keluarga waris dilakukan pihak berwajib bagi memaklumkan penggalian dan pemindahan semula kubur berkenaan.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan kerja pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, bagi memberi laluan kepada projek Laluan ditangguhkan seminggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 12:37 PM