PEMAIN TFC II, Dechi Marcel (kanan) diasak pemain Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman pada aksi perlawanan Liga Perdana.
PEMAIN TFC II, Dechi Marcel (kanan) diasak pemain Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman pada aksi perlawanan Liga Perdana.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah menganggap penyerang muda, Azhad Harraz Arman sebagai prospek besar negara pada masa akan datang yang perlu diambil perhatian selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama pasukan musim ini.

Pada saat pasukan itu sedang bergelut dalam pentas Liga Perdana, Azhad berjaya mencuri tumpuan dengan penampilannya bersama pasukan dan setakat ini sudah meledak lapan gol dalam 18 perlawanan sekali gus dilabel antara pemain muda berpotensi besar.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh pemain berusia 18 tahun ini terutamanya bersaing bersama majoriti pemain-pemain lebih berpengalaman di Liga Perdana membuktikan dia mampu untuk menyerlah sekiranya diberi peluang di landasan yang tepat demi kariernya.

Bagaimanapun, Yusri tetap merasakan Azhad masih lagi ada kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki selepas mengambil kira ciri-ciri seorang penyerang yang benar-benar berkualiti.

"Jika dilihat pada usia muda 18 tahun, Azhad sudah melakukan sesuatu yang cukup bagus bersama pasukan dan seharusnya dia perlu diberi masa dan minit permainan yang lebih untuk mengembangkan lagi bakatnya.

"Dia memiliki ciri-ciri seorang penyerang yang kita nak, tetapi dia masih muda dan sudah tentu banyak kelemahan lagi yang perlu diperbaiki.

"Bagi saya, dia memang antara prospek yang baik selepas kita juga pernah memilik nama-nama lain seperti contoh Luqman Hakim Shamsuddin dan ramai lagi prospek muda.

"Saya percaya dia akan lebih berjaya seandainya terus bekerja keras seperti mana yang dia lakukan sekarang bersama pasukan," katanya.

Barisan pemain skuad Projek FAM-MSN yang menewaskan Kelantan United FC pada aksi 29 Ogos lalu. FOTO KUFC.
Barisan pemain skuad Projek FAM-MSN yang menewaskan Kelantan United FC pada aksi 29 Ogos lalu. FOTO KUFC.

Bercakap mengenai pasukan, mereka masih perlu mengharungi dua lagi baki perlawanan apabila bakal berdepan Perak FC II dan Kuching City FC.

Meskipun kini berada di tangga tercorot, Yusri mengharapkan barisan pemain tetap berjuang dalam dua perlawanan ini untuk sekurang-kurangnya tidak bolos dengan jumlah jaringan yang besar.

"Saya harap akan ada tanda positif untuk pasukan kita dalam baki dua perlawanan ini.

"Kalau kita bandingkan prestasi di pusingan pertama liga, kita dapat lihat bagaimana kita sering bocor di gawang dengan gol yang banyak.

"Tetapi perubahan positif boleh dilihat apabila di pusingan kedua dan harapnya benda-benda positif ini akan terus memotivasikan pemain untuk memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan ini", tambahnya.

Skuad Projek FAM-MSN akan menentang Perak FC II pada Jumaat ini manakala aksi terakhir mereka menentang Kuching City FC pada Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:45 PM