AKONO (kiri) diasak pemain Projek FAM-MSN, Kamal Arif Azrai Shakimar dalam perlawanan Liga perdana di antara pasukan Negeri Sembilan FC menentang Projek FAM-MSN di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
AKONO (kiri) diasak pemain Projek FAM-MSN, Kamal Arif Azrai Shakimar dalam perlawanan Liga perdana di antara pasukan Negeri Sembilan FC menentang Projek FAM-MSN di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan terpaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Jaringan pemain tengah, R Barthkumar dan Alain Thierry Akono menjadi penyelamat tuan rumah yang tampil selaku pendahulu carta Liga Perdana ketika ini.

Biarpun dari awal permainan, Negeri Sembilan melakukan serangan bertubi-tubi ke kawasan kubu pasukan lawan, untuk mendapatkan gol, namun jaringan pertama hanya hadir pada minit ke-72, menerusi sumbangan pemain tengah, R Barathkumar.

Gol itu terhasil apabila pemain berkenaan menerima bola dari bahagian tepi dan dia yang tidak di kawal dengan mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol pelawat, Mohamad Nabil Asyraf Ramli.

Terdahulu, pemain skuad Projek FAM-MSN jelas memberikan tentangan sengit terhadap lawan dengan bertindak agresif mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi.

Tuan rumah berpeluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-30 tetapi sepakan Barathkumar dari dalam kotak penalti terlalu lemah dan mudah bagi Mohamad Nabil, mempertahankan gawang.

Selepas itu, anak buah K Devan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol melalui sepakan sudut dan sepakan bola mati, tetapi tiada penyudah tepat dilakukan barisan depan yang diterajui Alain Akono dan Rafael Gomes De Oliveira.

Sebaliknya, skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dilihat terus bertahan hingga menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan dihasilkan.

Bersambung babak kedua, skuad Hobin Jang Hobin terus bertindak agresif dengan melakukan serangan ke kubu pasukan skuad Projek FAM-MSN untuk mendapatkan gol.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Barathkumar berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-72.

Alain Akono mencatatkan nama sebagai penjaring menerusi tandukan pada minit ke-85 ketika situasi kelam kabut dalam kotak penalti pasukan lawan.

Dua gol berkenaan kekal sehingga tamat permainan sekali gus meletakkan Negeri Sembilan terus mendominasi carta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 12:22 AM