MOUSSA Sidibe berjaya melepasi kawalan pemain skuad Projek FAM-MSN  pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi. FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
MOUSSA Sidibe berjaya melepasi kawalan pemain skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi. FOTO ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) melonjak ke tangga kedua liga selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi.

Seawal minit ketiga perlawanan, JDT II sudah berada di depan berpunca daripada bola sepakan lintang Moussa Sidibe membolehkan pemain pertahanan pasukan itu, Feroz Baharuddin yang tidak dikawal menanduk bola masuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Nabil Asyraf Ramli.

Sepatutnya tuan rumah mampu menghasilkan gol kedua pada minit ke-10 namun usaha keras Fernando Rodriguez yang berjaya mengatasi benteng pertahanan skuad kendalian Hassan Sazali Waras tapi rembatan deras pemain import dari Sepanyol di luar kotak penalti melepasi palang gol.

Tuan rumah menoktahkan gol kedua pada minit ke-21 selepas Sidibe yang menerima bola lorongan Daryl Sham George bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mohamad Nabil Asyraf.

Skuad Projek FAM-MSN merapatkan jurang gol pada minit ke-26 selepas bola sepakan percuma Mohamad Aikmal Roslan gagal dikeluarkan penjaga gol JDT II, Haziq Nadzli dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Muhammad Haikal Sahar yang merembat bola masuk ke gawang yang terbuka luas.

Walaupun ketinggalan 1-2, pujian harus diberikan buat skuad Projek FAM-MSN yang tidak mempratikkan corak permainan bertahan sebaliknya beraksi secara terbuka dan kerap juga memberi tekanan terhadap benteng JDT II yang bertungkus lumus menghalang gerakan berbahaya barisan pemain muda itu.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bertali arus mengasak ke kubu skuad Projek FAM-MSN tapi bola tandukan Rodriguez hasil sepakan lintang Alif Abdul Mutalib hanya sipi di sebelah kiri gawang pasukan pelawat.

Sepanjang babak kedua, kedua-dua pasukan buntu untuk menambah jaringan dan kedudukan 2-1 yang memihak JDT II kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 10:48 PM