Pemain UiTM FC mencabar pemain Melaka United FC Gomes Da Silva (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Syafeeq Ahmad
Pemain UiTM FC mencabar pemain Melaka United FC Gomes Da Silva (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: UiTM FC bangkit pada penghujung babak kedua untuk mengikat Melaka United (MU) 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, sebentar tadi.

Bagaimanapun peluang lebih awal bagi mendahului pelawat hadir pada minit kelima buat MU namun tolakan Giovani Gomes yang hanya berdepan penjaga gol Mohd Zamir Selamat tersasar ke kanan gawang pelawat.

Perlawanan yang lebih banyak dikuasai tuan rumah menyaksikan sentuhan pemain skuad terbabit lebih berkeyakinan selepas tewas kepada Penang FC dua minggu lalu.

Mereka terus agresif melakukan percubaan namun Wan Amirul Afiq yang hanya berdepan Zamir sekadar merembat lemah pada minit ke-16 sekali gus berjaya diselamatkan bekas penjaga gawang MU dan Kuala Lumpur terbabit.

Walaupun cuba memberi tentangan dan mengatur gerak bagi mencari jaringan semangat pelawat kelihatan sukar menembusi kubu tuan rumah yang lebih mantap pada awal babak saingan.

Apapun anak buah jurulatih Reduan Abdullah memiliki peluang mencipta jaringan pada minit ke-38 tetapi rembatan Khairul Izuan Rosli mudah diselamatkan penjaga gol Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka yang enggan tewas lagi selepas masih berada di zon bahaya penyingkiran ke Liga Perdana jelas menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memperbaiki kedudukan di carta liga.

Hasilnya gol yang dicari muncul juga selepas S Kumaahran merembat kencang menggegar palang pelawat dan bola melepasi garisan gol untuk jaringan pendahuluan pada minit ke-44 perlawanan.

Gol terbabit berjaya dicetak selepas berlaku situasi kelam kabut di pintu gawang UiTM bermula daripada percubaan Manuel Ott yang terkena tiang kanan pelawat namun gagal dikeluarkan dengan kemas oleh barisan pertahanan sekali gus membolehkan tindakan susulan Kumaahran untuk mendahului sebelum ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua tuan rumah terus berusaha menambah jaringan pada minit ke-46 tetapi tandukan Jang Suk Won sekadar menggegar palang diikuti rembatan Sony Norde empat minit selepas itu diselamatkan Zamir.

Saingan yang lebih terbuka selepas itu menyaksikan pelawat juga memiliki peluang untuk merobek gawang MU namun peluang diperolehi gagal dimanfaat dengan jaringan.

Percubaan terbaik hadir menerusi rembatan Rafie Mat Yaakob yang ditepis keluar Khairul Fahmi, namun mereka bangkit berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi rembatan kencang kapten pasukan Victor Nirennold.

Keputusan Perlawanan:

Liga Perdana

Skuad Projek FAM-MSN 0 Sarawak United 4

Perak FC II 0 PDRM FC 3

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 11:21 PM