PENYERANG AC Milan, Olivier Giroud memegang trofi dan meraikan kejayaan muncul juara Serie A bersama rakan sepasukan. FOTO REUTERS
PENYERANG AC Milan, Olivier Giroud memegang trofi dan meraikan kejayaan muncul juara Serie A bersama rakan sepasukan. FOTO REUTERS
Reuters

Sassuolo: AC Milan memenangi gelaran Serie A Itali buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun selepas menang 3-0 ke atas Sassuolo, semalam menerusi dua jaringan Olivier Giroud dan satu gol Franck Kessie.

Anak buah Stefano Pioli beraksi pada perlawanan terakhir dengan menyedari satu mata sudah cukup buat mereka bergelar juara mengatasi seteru setempat, Inter Milan, tetapi selepas Giroud menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17, gelaran Serie A ke-19 sudah pasti dalam genggaman.

Giroud menjaringkan gol kedua pada minit ke-32 hasil gerakan cantik Rafael Leao untuk meletakkan anak buat Pioli semakin hampir menjulang trofi tanpa perlu memikir keputusan perlawanan membabitkan Inter.

Empat minit kemudian Kessie menjadikan kedudukan 3-0 bagi memastikan gelaran milik Milan sebelum aksi babak pertama berakhir.

Selepas rehat, ribuan penyokong Milan seolah-olah berpesta di Emilia-Romagna dan apabila wisel penamat ditiup, Milan disahkan sebagai juara dengan dua mata mengatasi Inter, yang menyaksikan kemenangan ke atas Sampdoria tidak bermakna.

"Saya tidak ingat bila kali terakhir kami kalah," kata Pioli kepada DAZN.

"Kami berhak mendapat Scudetto ini kerana kami lebih konsisten, menang perlawanan sukar, bangkit daripada ketinggalan ketika aksi derby dan menang dua kali di Rom."

"Bos saya memberikan keyakinan luar biasa, apabila anda sampai ke tahap ini, ia adalah kerana semua orang memberikan yang terbaik."

Milan tidak menunjukkan tanda merisaukan pada perlawanan dengan Sassuolo yang berada di pertengahan liga.

Fikayo Tomori menyaksikan tandukannya dikeluarkan di atas garisan dan rembatan Alexis Saelemaekers diselamatkan sebelum Leao merampas bola di sebelah kiri dan mengumpan kepada Giroud untuk merembat masuk gol pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 8:59 AM