AKSI  Ronaldo  menjaringkan gol keduanya di Turin, awal pagi tadi. FOTO AFP
AKSI Ronaldo menjaringkan gol keduanya di Turin, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Milan: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika juara bertahan, Juventus bangkit daripada kekalahan pertama Serie A musim ini dengan menewaskan Udinese 4-1 untuk melonjak ke tangga kelima.

Kelab Milan kini menduduki tangga teratas dengan Juventus 10 mata di belakang tetapi beraksi kurang satu perlawanan.

Pendahulu AC Milan kekal satu mata di hadapan Inter selepas mengatasi kelab pertengahan liga, Benevento 2-0 walaupun beraksi 10 pemain dalam tempoh sejam manakala Inter membelasah kelab bawahan Crotone 6-2 dengan Lautaro Martinez meledak hatrik pertamanya bersama kelab.

Tetapi Milan mengembalikan kelebihan hasil penalti Franck Kessie pada minit ke-15 dan rembatan cantik Rafael Leao selepas babak kedua bermula. Sandro Tonali dibuang padang selepas 33 minit permainan akibat mengasari Artur Ionita.

"Kami tak benarkan diri kami tertekan dengan keputusan pencabar lain,'' kata Pioli yang skuadnya tidak tewas 27 aksi liga sejak Mac lalu.

PEMAIN Milan bergembira selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
PEMAIN Milan bergembira selepas tamat perlawanan. FOTO AFP

Ronaldo pula sekali lagi membuktikan ketajaman buat Juventus dengan meledak gol pada kedua-dua babak untuk jaringan ke-14nya musim ini dan membantu jaringan Federico Chiesa selepas rehat.

Paulo Dybala menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan sekali gus membolehkan skuad Andrea Pirlo bangkit daripada kekalahan mengejut 0-3 kepada Fiorentina sebelum ini.

"Ia bukanlah yang terbaik daripada Juventus kerana kami bangkit daripada kekalahan memalukan dan agak gementar pada awal permainan,'' kata Pirlo.

"Perlahan-lahan kami temui rentak dan bertambah baik pada babak kedua.''

Di San Siro, gandingan Martinez dan Romelu Lukaku terbukti berbisa buat Inter yang kini menang lapan aksi liga berturut-turut selepas membelasah Crotone di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 8:19 AM