GIROUD (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
GIROUD (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters

Rom: Olivier Giroud yang meledak dua gol ketika menewaskan Inter Milan pada saingan Serie A, menjaringkan dua gol lagi ketika membantu AC Milan mengatasi Lazio 4-0 pada aksi suku akhir Piala Itali, hari ini.

Rafael Leao membuka jaringan minit ke-24 dan mencipta peluang untuk gol kedua yang disempurnakan Giroud minit ke-41.

Giroud kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada hujung separuh masa pertama manakala Franck Kessie melengkapkan kemenangan Milan dengan gol keempat 10 minit sebelum tamat perlawanan.

"Dia bermula pada musim ini dengan sangat baik tetapi mengalami masalah belakang dan buku lali, jadi memerlukan masa untuk kembali pulih.

"Dia seorang penyerang yang hebat tetapi seluruh pasukan beraksi dengan baik dan kami perlu teruskan prestasi seperti ini." kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Milan akan bertemu seteru utama, Inter selepas lawan mereka itu menyingkirkan skuad bimbingan Jose Mourinho, Roma 2-0.

Mourinho yang pernah membimbing Inter tampil ke San Siro buat kali pertama sejak meninggalkan kelab itu pada 2010.

Bagaimanapun dia gagal membantu Roma melakar kemenangan, sebaliknya Inter mara menerusi gol Edin Dzeko dan Alexis Sanchez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:05 AM