PENYERANG AC Milan, Sandro Tonali dan Olivier Giroud bersorak selepas jaringan mereka memastikan kemenangan dramatik 2-1 di Lazio. FOTO REUTERS
PENYERANG AC Milan, Sandro Tonali dan Olivier Giroud bersorak selepas jaringan mereka memastikan kemenangan dramatik 2-1 di Lazio. FOTO REUTERS
AFP

Rome: Sandro Tonali menjaringkan gol pada masa tambahan bagi membantu AC Milan bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 di Lazio, semalam, dan memintas juara bertahan, Inter Milan di tangga teratas Serie A.

Ciro Immobile meletakkan Lazio di depan pada perlawanan di Stadio Olimpico di Rome, tetapi Olivier Giroud menyamakan kedudukan selepas rehat sebelum jaringan Tonali memastikan Milan dalam keadaan terbaik memburu gelaran.

Mereka kini mendahului dua mata di depan Inter, yang menewaskan Roma 3-1 pada aksi Sabtu lalu dan memiliki kelebihan satu perlawanan menentang Bologna, Rabu ini.

Inter turut menyingkirkan Milan di separuh akhir Piala Itali, pertengahan minggu lalu.

Ciro Immobile menjadi penjaring terbanyak di liga utama Itali apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Sergej Milinkovic-Savic pada minit keempat.

Pemain antarabangsa Itali itu mengumpul 181 gol dalam Serie A mengatasi penyerang veteran Sampdoria, Fabio Quagliarella pada ketika Immobile mendahului senarai penjaring musim ini dengan 26 gol.

Giroud kemudian menyudahkan kerja keras Rafael Leao untuk menyamakan kedudukan dan Milan mengesahkan kemenangan apabila Zlatan Ibrahimovic membuat hantaran yang disudahkan Tonali selepas tandukan lemah pemain pertahanan lawan, Francesco Acerbi.

Impian Napoli memburu gelaran semakin samar apabila mensia-siakan pendahuluan dua gol dan tewas 2-3 di Empoli.

Pada ketika berbaki empat lagi perlawanan musim ini, Napoli ketinggalan tujuh mata di belakang Milan dan lima mata di belakang Inter yang menduduki tempat kedua.

Napoli tidak pernah menang gelaran Serie A sejak pemain legenda, Diego Maradona membawa mereka mengecapi kejuaraan pada 1987 dan 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:01 AM