SKUAD Perak FC. FOTO ARKIB NSTP
SKUAD Perak FC. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah Perak FC menjadi pasukan kedua dari utara selepas Perlis disingkirkan daripada saingan liga gara-gara gagal melunaskan tunggakan gaji pemain?

Persoalan terbabit timbul memandangkan hari ini adalah penentuan kepada nasib skuad Perak FC untuk membayar segala tunggakan gaji pemain membabitkan musim 2021 dan 2022 atau sekurang-kurangnya menyerahkan bukti persetujuan penyelesaian bersama jika tidak mahu dikenakan hukuman itu.

Difahamkan, pengambilalihan pasukan terbabit ketika ini masih dalam rundingan akhir sejak seminggu lalu, namun tiada perkembangan terkini yang menyaksikan skuad Bos Gaurus sudah secara sah mempunyai 'bos' baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam memaklumkan, sememangnya apa perbincangan dan persetujuan membabitkan Impact Media and Communication (IMC) dan pemilik baharu pasukan itu namun tiada kata putus atau perkembangan terkini daripada kedua-dua pihak terbabit.

Beliau berkata, situasi terbabit membimbangkan MFL berikutan tarikh akhir penyelesaian segala tunggakan gaji itu berakhir tengah malam ini, sebelum kes diserahkan kepada badan bebas First Instance Body (FIB) untuk tindakan lanjut.

"Saya sudah berhubung dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Perak FC dan dikhabarkan persetujuan untuk mengambil alih di peringkat akhir, namun ia sebenarnya bukan status baharu kerana sudah dimaklumkan sejak minggu lalu.

"Situasi itu cukup membimbangkan MFL kerana jika pemilik baharu mahu mengambil alih Perak FC, mereka perlu menyelesaikan segala tunggakan gaji membabitkan musim lalu dan 2022.

"Berikutan itu, saya menghubungi Perak FC dan pihak yang mahu membeli pasukan berkenaan supaya mereka tahu dengan teliti apa diperlukan MFL," katanya.

Perak FC dikatakan cukup malang apabila dua kali dikenakan tindakan pemotongan mata kerana gagal melunaskan bayaran tunggakan gaji kepada pemain.

Perak FC dikenakan tindakan pemotongan enam mata kerana masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April walaupun kelab itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April lalu.

Sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan terbabit, skuad the Bos Gaurus berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini meskipun sebelum ini hukuman pemotongan sembilan mata sudah dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:43 PM