KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. FOTO Bernama
KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Masa semakin suntuk dengan hanya berbaki seminggu saja lagi untuk Perak FC menyelesaikan isu tunggakan gaji dan jika gagal, pasukan itu akan dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi.

Malah, jika isu itu terus berlanjutan sehingga 21 April, pasukan terbabit berkemungkinan akan digantung lesen, sekali gus berhadapan nasib seperti Perlis yang disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Itu antara hukuman bakal menanti Perak FC jika masih memandang remeh isu tunggakan gaji seterusnya tidak diselesaikan dengan kadar segera seperti diputuskan First Instance Body (FIB), baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, berdasarkan perbincangan sebelum ini, pihaknya sudah memaklumkan bahawa pengurusan Perak FC mempunyai tempoh 14 hari untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

"Jika gagal selesaikan pada 14 April ini, secara automatik pasukan Perak FC akan ditolak enam mata pula seperti dimaklumkan sebelum ini.

"Mereka pula mempunyai tujuh hari lagi untuk membuat pembayaran dan jika masih gagal selesaikan kemungkinan FIB akan mempertimbangkan untuk menarik lesen pasukan itu.

"Selain itu, ahli Lembaga MFL akan berbincang untuk melihat sama ada Perak FC perlu disingkirkan daripada saingan liga atau kekal bertanding," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan terdapat desas-desus barisan pemain Perak FC hanya menunggu masa untuk 'meletup' dengan tidak mahu lagi beraksi pada perlawanan akan datang.

Walaupun perkara terbabit belum berlaku, khabar angin pemain akan mengambil tindakan itu sudah bertiup kencang ketika ini memandangkan hampir tiga bulan bermain secara 'percuma' tanpa mendapat sebarang pembayaran gaji.

Sumber pengurusan kelab terbabit memaklumkan, perkara itu cukup ditakuti andainya berlaku memandangkan proses penjualan syarikat belum lagi mendapat persetujuan bersama.

Sementara itu, berdasarkan kedudukan semasa skuad Bos Gaurus di Liga Premier menyaksikan pasukan itu berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Seandainya pasukan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji sehingga 14 April ini menyebabkan kemenangan skuad kendalian Yusri Che Lah pada perlawanan akan datang hanyalah sia-sia kerana terpaksa berhadapan pemotongan enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 1:11 PM