PASUKAN Perak FC dipotong enam mata lagi dalam saingan Liga Perdana, musim ini. FOTO ARKIB NSTP
PASUKAN Perak FC dipotong enam mata lagi dalam saingan Liga Perdana, musim ini. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika ada anugerah pasukan paling malang untuk musim ini, mungkin Perak FC boleh bergelar juara apabila badan bebas First Instance Body (FIB) sekali lagi memutuskan skuad The Bos Gaurus dihukum pemotongan enam mata, berkuatkuasa serta merta.

Hukuman itu berikutan Perak FC masih tidak menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team (pasukan simpanan) berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.

Selain itu, pihak pengurusan Perak FC belum membuat pembayaran atau persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak pemain dan pegawai Perak FC bagi 2022.

Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang mempengerusikan Mesyuarat FIB Pelesenan Kelab (Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini, berkata, Perak FC masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April walaupun kelab itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April lalu.

"Mesyuarat FIB memutuskan untuk melaksanakan hukuman pemotongan enam mata bagi saingan Liga Premier 2022 susulan kegagalan Perak FC membuat pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir semalam.

"Keputusan ini mengambil kira kegagalan Perak FC mengemukakan bukti bayaran atau persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak.

"Jika dalam tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh atau persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022, maka pada 22 April depan perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Selain itu, beliau mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang dokumentasi berkaitan kemampuan pasukan itu untuk membayar segala tunggakan gaji.

Katanya, sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan FIB mengenai kemampuan mereka menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 8:35 PM