AKSI pemain Perak FC menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 25 Mac lalu. FOTO GHAZALI KORI
AKSI pemain Perak FC menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 25 Mac lalu. FOTO GHAZALI KORI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) melihat tindakan pemotongan tiga mata terhadap Perak FC bukan satu bentuk hukuman kejam buat pasukan terbabit.

Malah, tindakan diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap skuad Bos Gaurus sebagai peringatan supaya tidak mengambil ringan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Premier 2022 adalah wajar apabila melihat kepada tempoh masa diberi kepada pasukan itu untuk melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama ditetapkan First Instance Body (FIB) iaitu 31 Mac 2022.

Menurutnya, dengan hukuman itu, Perak FC tidak boleh terus 'lepas tangan' dan perlu berusaha menyelesaikannya dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan hukuman sama berulang.

"Pertama sekali, PFAM menyambut baik tindakan serius dikenakan kepada Perak FC dan MFL sudah mengambil langkah tepat dalam perkara ini.

"Kami berharap agar isu tunggakan gaji Perak FC untuk dua kelompok (musim ini dan musim lepas) dapat diselesaikan dalam kadar segera.

"PFAM sudah menghantar aduan bagi tunggakan gaji pemain Perak FC bagi musim 2021 ke peringkat Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk diperhalusi dengan lebih lanjut," katanya.

Pada masa sama, Izham berharap hukuman dikenakan kepada Perak FC akan menjadi pengajaran kepada mereka dan pasukan lain dalam memastikan perkara sama tidak lagi berulang.

Beliau berkata, hukuman itu adalah langkah serius untuk menolak sebarang bentuk kejadian seumapanya terus berulang dan memberikan amaran supaya pihak pengurusan mempunyai kemampuan dan kelayakan dalam menguruskan kelab.

Katanya, peraka itu tidak seharusnya berlaku kerana penelitian dibuat sebelum pengambil alihan dilakukan pihak kelab.

Terdahulu, Perak FC gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan Reserve Team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) dihantarkan Perak FC bertarikh 15 Disember 2021.

Keputusan pemotongan mata dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan pada musim 2021.

Perak diberi masa sehingga tarikh akhir kedua iaitu 14 April untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan dan sekiranya gagal, pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 2:23 PM