AKSI pemain Perak FC (jersi kuning hitam) ketika menentang Terengganu FC II, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
AKSI pemain Perak FC (jersi kuning hitam) ketika menentang Terengganu FC II, bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketika nasib Perak FC berada di hujung tanduk, badan bebas, 'First Instance Body' (FIB), hari ini tampil sebagai penyelamat apabila memberikan 'masa tambahan' kepada pasukan itu untuk menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir memaklumkan selepas meneliti dan memperhalusi permohonan Perak FC pada 18 April lalu, pihaknya memutuskan untuk memberi ruang kepada pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April ini.

Namun, jika pengurusan pasukan terbabit masih gagal menyelesaikan isu pemilikan selepas tarikh itu, pasukan itu akan dikenakan tindakan lanjut seperti termaktub dalam peraturan.

"Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap penyelesaian proses rundingan itu dapat memberi satu sinar baharu demi kebajikan pemain dan pegawai pasukan itu.

"Bagaimanapun sekiranya Perak FC gagal menyelesaikan urusan pada tarikh ditetapkan, maka Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL (Liga Bolasepak Malaysia)," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Perak FC boleh dikatakan cukup malang apabila dua kali dikenakan tindakan pemotongan mata kerana gagal melunaskan bayaran tunggakan gaji kepada pemain.

Pasukan itu dikenakan tindakan pemotongan enam mata kerana gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April walaupun sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April lalu.

Sekiranya gagal menyelesaikan tunggakan terbabit, skuad the Bos Gaurus berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini.

Perak FC sepatutnya menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain untuk 2021 dan 2022 sebelum 12 tengah malam ini, namun keputusan diberikan FIB itu menyaksikan mereka masih ada masa sehingga hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 9:21 PM