SKUAD Perak FC akan mendapat pemilik baharu. FOTO FACEBOOK PERAK FC
SKUAD Perak FC akan mendapat pemilik baharu. FOTO FACEBOOK PERAK FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penjualan Perak FC memasuki babak seterusnya apabila dikhabarkan Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) terpaksa menyerahkan kelab itu kepada JR Resources tanpa 'proof of fund'.

Ini bermakna, jika penjualan itu diteruskan, pemain dan barisan kejurulatihan kemungkinan sekali lagi akan di 'scam' iaitu tidak mendapat bayaran gaji seperti tempoh sebelum ini sekiranya pemilik baharu tidak mempunyai sumber kewangan kukuh.

Mengesahkan situasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif IMC, Muhammad Yunus Zakariah memaklumkan penjualan Perak FC akan menemui noktah selewat-lewatnya dua hari lagi, sekali gus skuad the Bos Gaurus mempunyai tuan baharu kelak.

Beliau berkata, tempoh masa terlalu suntuk menyebabkan pihaknya terpaksa meneruskan penjualan Perak FC walaupun pemilik baharu itu gagal menunjukkan 'proof of fund'.

Katanya, penjualan Perak FC perlu disegerakan memandangkan bakal berhadapan dengan beberapa tindakan lain termasuklah kemungkinan disingkirkan daripada saingan liga jika gagal menjelaskan tunggakan gaji itu.

"Penjualan Perak FC sudah berada di peringkat akhir dan mungkin esok atau lusa pasukan terbabit akan bertukar tangan kepada pemilik baharu.

"Berkaitan hukuman penolakan enam mata, perkara itu tidak dapati dielakkan kerana mengikut perancangan sepatutnya penjualan Perak FC selesai sebelum hari ini (15 April), namun terdapat masalah lain pula menyebabkannya tertangguh.

"Sekarang ini, IMC hanya mahu jual Perak FC dan berharap segala masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Terdahulu, nasib skuad The Bos Gaurus umpama 'telur di hujung tanduk' apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain musim lalu dan tonggak musim ini yang dianggar jutaan ringgit.

Sekiranya gagal, Perak FC berisiko disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini meskipun sebelum ini hukuman pemotongan tiga mata dan enam mata dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:03 PM