PEMAIN Tunisia bergembira selepas tamat perlawanan.
PEMAIN Tunisia bergembira selepas tamat perlawanan.
Reuters

Yaoundé: Kapten Youssef Msakni membantu Tunisia yang dilanda Covid-19 menewaskan Nigeria 1-0 di Garoua awal pagi tadi dan mara ke suku akhir Piala Negara Afrika.

Dia meledak rembatan dari luar kotak penalti dua minit selepas rehat untuk menyingkirkan Nigeria dari kejohanan.

Nigeria satu-satunya pasukan menang kesemua tiga aksi peringkat kumpulan dan menjadi pilihan menentang Tunisia yang bermain tanpa tujuh tonggak akibat Covid-19.

Tetapi Tunisia yang turut beraksi tanpa jurulatih Mondher Kebaier mencipta kejutan dan mara menentang Burkina Faso dalam aksi suku akhir di Garoua Ahad ini.

Tidak banyak peluang dicipta kedua-dua pasukan dengan Tunisia tangkas bertahan dan sekali sekali melancarkan serangan balas.

Nigeria pula gagal mempamerkan aksi sebenar ketika menewaskan Mesir, Sudan dan Guinea Bissau dalam perlawanan awal.

Mereka kehilangan seorang pemain apabila Alex Iwobi dibuang padang selepas melakukan terjahan keras pada minit ke-66, tujuh minit selepas masuk daripada bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 10:38 AM