MOGNI  (tengah) diraikan selepas menjaringkan gol kemenangan Comoros.
MOGNI (tengah) diraikan selepas menjaringkan gol kemenangan Comoros.
AFP

Yaoundé: Juara empat kali Ghana tersingkir daripada Piala Negara Afrika selepas tewas 2-3 kepada pasukan kerdil, Comoros dalam aksi Kumpulan C di Garoua awal pagi tadi.

Kapten Black Stars, Andre Ayew dibuang pada minit ke-25 dan selepas dua kali bangkit daripada ketinggalan mereka tewas apabila pemain Comoros, Ahmed Mogni meledak jaringan kemenangan pasukannya ketika permainan berbaki lima minit.

Maghribi dan Gabon seri 2-2 di Yaounde dalam kumpulan sama untuk mengekalkan kedudukan pendahulu dan tempat kedua sekali gus mara ke pusingan 16 yang bermula Ahad ini.

Comoros yang mewakili negara kepulauan di tenggara Afrika menduduki tempat ketiga dan perlu menunggu sehingga esok untuk mengetahui sama ada layak dalam kalangan empat pasukan terbaik tempat ketiga.

"Kami tidak patah semangat walaupun Ghana menyamakan kedudukan. Kami sentiasa percaya mampu hadiahkan kemenangan amat bermakna buat negara kami,'' kata jurulatih Comoros, Amir Abdou yang mengendalikan pasukannya sejak 2014.

Jurulatih Ghana kelahiran Serbia, Milovan Rajevac pula berkata dia tidak akan meletak jawatan walaupun pasukannya menduduki tempat terakhir dengan hanya satu mata.

"Saya datang ke Ghana dengan misi melayakkan mereka ke Piala Dunia. Itu misi utama saya," he said.

"Saya akan kekal dan mengetuai mereka untuk aksi playof pada Mac," katanya lagi.

Undian di Douala pada Sabtu ini akan menentukan sama ada Ghana akan menentang Senegal, Maghribi, Algeria, Tunisia atau Nigeria dalam dua aksi peringkat playoff dengan pemenang akan layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:50 AM